Kota Tinggi- Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (PKKMCJ) telah menjalinkan kerjasama bagi mengadakan Bengkel Batik Canting Asas yang bermula pada 25 hingga 29 November 2011 di Dewan Serbaguna, Kampung Mawai Baru, Kota Tinggi, Johor. Seramai 36 orang peserta dari Kampung Mawai Baru, Kampung Johor Lama, Kampung Sayang, Kampung Panchor dan Kampung Punggai telah menyertai program selama 5 hari itu berlangsung di sana.
Program kerjasama ini telah diadakan adalah bertujuan untuk meningkatkan sosio-ekonomi penduduk kampung bagi mempelajari asas batik canting dan rata-rata didapati bahawa mereka tidak mempunyai kemahiran dalam pembuatan tersebut. Lantas, mereka perlu bermula dari peringkat pertama dengan bantuan tenaga pengajar yang dilantik. Encik Mohd Rosdi Ibrahim, pengajar kraf PKKMCJ dan Encik Abdul Wahab Mustafa (Bujang) merupakan individu yang bertanggungjawab untuk membentuk serta melatih para peserta sehingga mereka menjadi separa mahir dalam pembuatan batik canting.
Kini, pihak KEJORA dan PKKMCJ masih di peringkat perbincangan bagi mengadakan Bengkel Susulan Batik Canting Asas dan sasaran kami adalah untuk mewujudkan kumpulan pembatik di Kota Tinggi dengan mempertahapkan kemahiran mereka ke peringkat mahir. Bengkel susulan ini dijangka akan diadakan pada bulan Januari 2012 dengan penglibatan seramai 19 orang dan mereka dipilih berdasarkan komitmen serta hasil kerja yang memuaskan dipamerkan. Sekian.