Selasa, 24 Mei 2011

Kursus HRMIS

Larkin- Unit Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Khidmat Pengurusan telah mengadakan kursus HRMIS berkaitan dengan pengurusan rekod peribadi, pengurusan prestasi serta pengurusan saraan faedah dan ganjaran di Bilik Latihan, Kraftangan Malaysia Cawangan Johor pada 23 Mei yang lalu. Kursus ini bertujuan untuk menetapkan sasaran dan merancang pencapaian serta penilaian prestasi setiap anggota kerja di Kraftangan Malaysia. Pihak pengurusan juga akan memantau dan menilai prestasi individu serta organisasi bagi menghubungkaitkan prestasi kepada pembangunan kerja, keperluan pembangunan serta ganjaran.


Antara pegawai-pegawai dari Unit Pengurusan Sumber Manusia yang terlibat ialah:
  1. Cik Farina binti Darus
  2. Puan Siti Habsah binti Romlan
  3. Puan Nik Noorzilawani binti Sa'ari

Selamat Datang Pelajar Latihan Industri (Baru)

Larkin- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah menerima seorang lagi pelajar baru dari Jurusan Pengurusan Seni, Universiti Malaysia Sarawak untuk menjalani latihan industri yang bermula pada 23 Mei sehingga 9 Julai 2011 (7 minggu). Pelajar yang dimaksudkan adalah Siti Rahayu binti Ishak (Ayu) yang berasal dari Johor dan beliau ditempatkan di Unit Pasaran dan Promosi/ Pemuliharaan Kraf bagi menggantikan Nurfarahidayu binti Mohd Yani (Farah) yang berpindah ke Unit Rekaan dan Teknikal.

Pendidikan Kraf Batik Canting

Johor Bahru- Usahawan kraf Johor, Titismas Enterprise telah melaksanakan aktiviti pendidikan kraf dalam bidang batik canting di pejabat KULIM (MALAYSIA) Berhad, Ulu Tiram, Johor Bahru pada 21 Mei 2011. Syarikat KULIM (MALAYSIA) Berhad telah menjalinkan hubungan kerjasama untuk kali ketiga bagi mengadakan aktiviti pendidikan kraf selepas program KULIM Wildlife Defenders Junior (sesi 1 & 2) berakhir pada bulan April yang lalu. Program yang bermula pada pukul 9 pagi itu telah dihadiri oleh 40 peserta dan ia diadakan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada anggota kerja bersama keluarga mereka bagi merasai pengalaman secara praktikal dalam pembuatan asas kraf batik.

Citrawana 1 Malaysia 2011

Kuala Lumpur- Kementerian Pelancongan telah melancarkan Citrawana 1 Malaysia 2011 yang merupakan acara tahunan bertujuan untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk pelancongan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang terkenal dengan menonjolkan aspek kesenian serta kebudayaan masyarakat majmuk Malaysia ke arah konsep 1 Malaysia seiring dengan tema pelancongan "Malaysia Truly Asia".


Usahawan kraf Johor, Permata Ilham Larik telah dijemput untuk mengadakan jualan kraf di Dataran Merdeka pada 21 Mei yang lalu dan program ini telah dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Al- Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al- Marhum Sultan Mahmud Al- Muktafi Billah Shah mulai pukul 8.30 malam. Acara jualan dan pameran telah bermula pada 9 pagi dan berakhir pukul 12 tengah malam. Pelbagai pertandingan permainan berbentuk tarian tradisional Citrawana 1 Malaysia yang bermula pada 21 Mei sehingga 30 Jun depan.