Isnin, 27 Jun 2011

Karnival Kerjaya, Perniagaan & Kemahiran Negeri Johor 2011 (KEPAK)

Johor Bahru- Karnival Kerjaya, Perniagaan & Kemahiran Negeri Johor 2011 (KEPAK) merupakan penganjuran yang pertama kalinya diadakan dengan kerjasama daripada pihak Unit Perancangan Ekonomi Negeri Johor (UPENJ), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), JobMalaysia Center (JTK), Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB), Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan beberapa agensi kerajaan yang lain. Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah dijemput untuk turut serta bagi mengadakan pameran berinformasi, demonstrasi mencanting batik dan permainan kercang (permainan masyarakat Orang Asli) yang bermula pada 23 Jun sehingga 26 Jun 2011.


Majlis Perasmian Karnival Kerjaya, Perniagaan & Kemahiran Negeri Johor 2011 (KEPAK) telah disempurnakan oleh Y.A.B Dato' Haji Abdul Ghani bin Othman iaitu Menteri Besar Johor pada 23 Jun yang lalu mulai pukul 3 petang dan beliau diiringi oleh Y.B. Datuk Haji Maulizan bin Bujang iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi Negeri Johor. Mewarna batik merupakan gimik perasmian bagi karnival tersebut.


Antara objektif KEPAK 2011 diadakan adalah bertujuan untuk:
  1. Menghimpunkan dan memadankan peluang kerjaya, perniagaan dan peningkatan dalam sektor kemahiran di negeri Johor;
  2. Meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi gabungan usahasama pelbagai pihak dalam satu program yang diadakan; dan
  3. Bimbingan kerjaya, tips menghadiri temuduga dan sesi motivasi serta berkongsi pengalaman dengan usahawan yang berjaya.

Di samping itu, empat usahawan kraf Johor telah dipilih sebagai usahawan Ikon Johor. Mereka dijemput untuk memberi tips, berkongsi pengalaman dan maklumat terhadap penglibatan mereka sebagai usahawan kraf di bawah agensi Kerajaan iaitu Kraftangan Malaysia. Antara usahawan yang terlibat adalah:
  • Nouvo Craft Enterprise
  • Wandarisnor Enterprise
  • Anugerah Kraf
  • Titis Mas Enterprise

Perbincangan Bagi Cadangan Mewujudkan Pusat Jualan Produk Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Ukiran Kayu Daerah Muar

Larkin- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (PKKMCJ) telah mengadakan satu sesi perbincangan bagi mewujudkan Pusat Jualan Produk di bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Ukiran Kayu Daerah Muar pada 23 Jun 2011 di bilik mesyuarat PKKMCJ. Objektif bagi mewujudkan pusat jualan ini adalah bertujuan untuk membantu dan mempromosikan produk ukiran iaitu di bawah projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Daerah Muar serta mendayamajukan pasaran produk kraf khususnya dalam bidang perabot dan cenderamata.

Antara topik yang diperbincangkan adalah seperti berikut:
  • Sewaan dan utiliti ruang pusat jualan;
  • Susun atur produk;
  • Isu-isu produk (pembungkusan, penjenamaan dan penghantaran produk);
  • Perlantikan Pegawai Pemasaran; dan
  • Kaedah pembayaran