Ahad, 24 April 2011

Persiapan Terakhir bagi Promosi Jualan Kraf di Plaza Angsana, JB

Johor Bahru- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (PKKMCJ) telah mengadakan persiapan terakhir sempena Promosi Jualan Kraf di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 21 April 2011 mulai pukul 2.30 petang dengan pendaftaran usahawan dan cabutan no 'booth' untuk tapak jualan mereka di sana. Promosi yang melibatkan seramai 12 usahawan kraf dari Johor, Selangor, Kelantan, Sabah dan Perak telah bermula pada 22 April sehingga 2 Mei 2011.

Program promosi ini merupakan inisiatif pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Johor untuk mempromosikan jualan kraf di kompleks beli-belah di sekitar Johor Bahru. Program-program sebegini sebagai usaha pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Johor untuk membantu usahawan kraf tempatan bagi menjana ekonomi mereka terutamanya sasaran pembelinya merupakan pengunjung dari sekitar Johor Bahru dan Singapura.


Pihak pengurusan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua anggota terlibat bagi menjayakan persiapan terakhir sempena Promosi Jualan Kraf di Plaza Angsana, Johor Bahru. Sekian.

Rabu, 20 April 2011

Majlis Perasmian Latihan Jangka Pendek Anyaman Rotan

Segamat- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah mengadakan majlis perasmian bagi program Latihan Jangka Pendek Anyaman Rotan di Perkampungan Orang Asli Ulu Juaseh, Segamat pada 18 April 2011 mulai pukul 11 pagi. Majlis perasmian ini telah dipengerusikan oleh Puan Hardiana b. Johar dan bacaan doa telah disampaikan oleh Encik Mohd Aizat b. Shaharuddin sebagai pembuka acara. Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Encik Mohammad Ali b. Haji Mad Jais telah memulakan ucapan aluannya kepada para hadirin dan seterusnya Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor, Encik Nor Azmi b. Haji Ismail telah merasmikan program Latihan Jangka Pendek Anyaman rotan selepas ucapan beliau selesai.


Pengerusi majlis telah memperkenalkan tiga tenaga pengajar yang bertanggungjawab untuk mendidik peserta-peserta ini dan mereka merupakan anggota kerja Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan iaitu:
  1. Tuan Syed Jamaludin b. Syed Mohd Amin
  2. Encik Badrulsham b. Mustafa
  3. Encik Mohd Nor b. Abdul Rahman


Proses pembelajaran telah bermula pada sebelah petang dengan penerangan oleh tenaga pengajar dan latihan asas tentang teknik pembuatan bakul kepada peserta-peserta di sana. Tenaga pengajar dibahagikan kepada dua kumpulan bagi menggalas program Latihan Jangka Pendek Anyaman Rotan dan ia adalah seperti berikut:
  • Kumpulan 1- Pereka dan pengajar kraf, Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan (3 orang)
  • Kumpulan 2- Bekas pelajar jurusan senikraf rotan, Institut Kraf Negara (2 orang)

Sabtu, 16 April 2011

Pendaftaran Peserta Latihan Jangka Pendek Anyaman Rotan

Segamat- Program Latihan Jangka Pendek Anyaman Rotan telah bermula semalam dengan pendaftaran peserta pada pukul 12.00 tengahari di Perkampungan Orang Asli, Ulu Juaseh, Segamat, Johor. Selesai sahaja pendaftaran peserta latihan, Timbalan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah memulakan taklimat dengan penerangan tentang program yang akan dijalankan dan beliau telah dibantu oleh Cik Anjalia Raimin. Penerangan ini bertujuan bagi memastikan setiap peserta memahami peraturan yang ditetapkan, kemudahan yang diberikan serta cara bagaimana untuk mengisi borang-borang yang disediakan oleh Kraftangan Malaysia.

Program Latihan Jangka Pendek Anyaman Rotan akan dilaksanakan selama tiga bulan bermula pada 15 April sehingga 14 Julai 2011 di sana dengan penglibatan sebanyak 3 anggota kerja Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan dan 2 orang bekas Institut Kraf Negara (IKN), Rawang, Selangor sebagai tenaga pengajar mereka sepanjang program ini dijalankan. Sesi taklimat program telah tamat dan bersurai pada pukul 3 petang. Sekian.

Persiapan Terakhir Bagi Program Latihan Jangka Pendek Anyaman Rotan

Segamat- Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah menjalankan persiapan terakhir pada 14 April 2011 bagi program Latihan Jangka Pendek Anyaman Rotan yang akan bermula pada keesokannya di Perkampungan Orang Asli, Ulu Juaseh, Segamat. Persiapan ini bertujuan untuk memastikan segala kelengkapan bengkel dan bilik tenaga pengajar adalah selesa digunapakai sewaktu aktiviti-aktiviti dijalankan. Selain itu juga, persediaan pemasangan bahan kempen latihan seperti bunting, backdrop dan banner bagi membantu menguar-uarkan publisiti kepada khalayak ramai tentang program yang dilaksanakan oleh Kraftangan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).


Antara anggota kerja yang terlibat bagi persiapan terakhir ialah:
  1. Hardiana Johar
  2. Mohd Rosdi Ibrahim
  3. Mohd Aizat Shaharuddin
  4. Khairul Nizar Syah Abdul Jabar
  5. Zulkifli Abd. Hamid

Khamis, 14 April 2011

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Cawangan PKKMCJ Bil 04/2011

Larkin- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Cawangan, PKKMCJ Bil 04/2011 pada 13 April 2011. Mesyuarat berlangsung selama dua jam di ruang perbincangan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor dan ia telah berakhir pada pukul 4.30 petang.

Antara agenda-agenda mesyuarat yang dikemukakan ialah:

Agenda 1 - Perutusan Pengerusi
Agenda 2 - Pengesahan Minit Mesyuarat Bilangan 03/2011
Agenda 3 - Perkara-Perkara Berbangkit
Agenda 4 - Laporan Prestasi Aktiviti Pengurusan dan Pembangunan
i) Unit Pentadbiran dan Kewangan
ii) Unit Pembangunan Usahawan
iii) Unit Rekaan dan Teknikal
iv) Unit Pasaran dan Promosi
v) Unit Pemuliharaan Kraf
Agenda 5 - Laporan Prestasi Perbelanjaan Pengurusan dan Pembangunan
Agenda 6 - Membincangkan Perkara-Perkara Baru
Agenda 7 - Penutup

Ceramah Agama (Tajuk: Amanah)

Larkin- Selepas program bacaan Yasin dan Tahlil diadakan, pihak pengurusan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah menjemput penceramah dari Jabatan Agama Johor, Bahagian Dakwah iaitu Ustaz Abdul Halim b. Sarmin bagi mengupas tajuk "Amanah" sebagai topik pada hari itu. Program yang berlangsung selama satu jam tiga puluh minit itu telah mengungkaikan sedikit sebanyak tentang sikap amanah Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya untuk dikaitkan dengan masyarakat kini khususnya penjawat awam. Dengan adanya program sebegini, anggota kerja dan usahawan di sini seharusnya mengambil iktibar dan muhasabah diri untuk membaiki diri sendiri agar membentuk sahsiah dan akhlak lebih cemerlang pada masa hadapan. InsyaAllah... Sekian.

Bacaan Yasin dan Tahlil

Larkin- Kelab Sukan dan Kebajikan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (KSKKMCJ) telah mengadakan program bacaan Yasin dan Tahlil pada 13 April 2011 mulai pukul 9.00 pagi di Bilik Latihan Jangka Pendek, Kraftangan Malaysia Cawangan Johor. Program ini bertujuan untuk memberi peluang kesemua anggota kerja dan usahawan di sini bagi menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada arwah keluarga dan rakan-rakan yang telah meninggal dunia, mendoakan seseorang yang sakit untuk disembuhkan serta memohon agar dimakbulkan Allah S.W.T terhadap sesuatu hajat yang dipinta.

Seterusnya, program sebegini seharusnya diteruskan sebagai acara bulanan agar ia mendatangkan perasaan insaf dan didikan bagi melahirkan insan yang cemerlang dari akhlak dan sahsiah. Pihak pengurusan ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik Zakaria b. Asari, Imam Masjid Taman Sri Bahagia, Johor Bahru kerana kesudian beliau untuk mengetuai sepanjang program bacaan Yasin dan Tahlil dijalankan. Sekian.

Perhimpunan Bulan April 2011

Larkin- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah mengadakan perhimpunan bulanan pada 13 April 2011 mulai pukul 8.30 pagi di hadapan perkarangan pejabat Kraftangan Malaysia. Perhimpunan bulan April ini telah dipengerusikan oleh Cik Norhaslizaraf bt. Ab. Rauf dan nyanyian lagu Bangsa Johor, Negaraku dan Cintai Warisan Kraf Malaysia sebagai pembuka acara program. Bacaan doa dimulakan oleh Encik Mohd Aizat b. Shaharuddin dan seterusnya diikuti dengan ucapan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor, Encik Nor Azmi b. Haji Ismail bagi menyampaikan amanat dari Ketua Pengarah kepada semua anggota kerja dan usahawan kraf di sini. Kemudian, sesi penyerahan kad lahir kepada anggota kerja yang lahir pada bulan Mac. Perhimpunan bersurai pada pukul 9.00 pagi.

Rabu, 13 April 2011

Gotong-Royong PKKMCJ

Johor Bahru- Pihak pengurusan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah mengadakan aktiviti gotong-royong semalam bagi kerja-kerja susunatur semula di ruang galeri, ruang lobi pejabat dan bilik latihan jangka pendek. Aktiviti ini dimulakan dengan penerangan oleh Timbalan Pengarah, Cik Saihazra dan pengagihan kumpulan untuk penyelarasan bagi kerja-kerja susunatur di ruang sepertimana yang telah dirancangkan. Gotong-royong ini juga bertujuan untuk persediaan bagi program bacaan Yassin dan Tahlil serta ceramah agama di bilik latihan jangka pendek pada keesokannya.


Pihak pengurusan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor ingin mengucapkan terima kasih ke atas komitmen dan kerjasama oleh setiap anggota kerja yang terlibat bagi menjayakan program ini. Semoga suasana hubungan ukhuwah diteruskan di antara satu dengan yang lain agar konsep kekeluargaan ini berkekalan di sini untuk selamanya. Sekian.

Selasa, 12 April 2011

Program KULIM Wildlife Defenders Junior (Sesi 2)

Kota Tinggi- KULIM (MALAYSIA) Berhad meneruskan kesinambungan program KULIM Wildlife Defenders Junior (Sesi 2) untuk bekerjasama dengan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor bagi mengadakan aktiviti kesedaran kepada kanak-kanak tentang kepentingan hidupan liar dan interaktif kraf dalam mewarna batik. Program ini telah diadakan pada 9 April 2011 mulai pukul 8.00 pagi hingga 1.00 petang di Sekolah Kebangsaan Nam Heng, Kota Tinggi, Johor. Program sebegini seharusnya diteruskan lagi untuk memberi pendedahan secara insitu khususnya pembuatan kraf di kalangan anak-anak muda bagi menarik minat dan mengasah kreativiti mereka di sana. Semoga dengan kehadiran mereka akan memberi impak yang positif kepada masyarakat tempatan bagi memperluaskan sektor industri kraf di Johor. Sekian.

Selamat Pengantin Baru- Encik Fairuss & Puan Ain dan Puan Wariaah & Haji Bakri

Johor Bahru- Kraftangan Malaysia Cawangan Johor ingin mengucapkan "Selamat Pengantin Baru" kepada dua pasangan raja sehari iaitu Pegawai Khidmat Pelanggan, Encik Mohd Fairuss bin Ab. Samat dan pasangannya Puan Raja Nurul Ain binti Y.M Raja Jaafar dan bekas Pekerja Am, Puan Wariaah binti Taib dan pasangannya Haji Bakri bin Asipan telah selamat terijab kabul pada 9 April 2011. Encik Fairuss dan pasangan telah diijabkabulkan di Gombak, Selangor manakala Puan Wariaah dan pasangan pula telah diijabkabulkan di Johor Bahru, Johor. Pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Johor mendoakan semoga kedua-dua pasangan mempelai ini disatukan dengan keimanan, ketaqwaan dan keyakinan kepada Allah. Jadikan mereka sentiasa saling bantu-membantu, murahkanlah rezeki mereka dan berikanlah mereka kehidupan yang dilimpahi Al-Mawaddah dan Ar Rahman di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Isnin, 11 April 2011

Global Village 2011

Skudai- AIESEC telah menganjurkan program "Global Village" pada 8 April 2011 mulai pukul 9 pagi hingga 6 petang di Dewan Sultan Iskandar (DSI), Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor. Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah dijemput untuk turut serta bagi mengadakan pameran antarabangsa di sana. Program ini bertujuan untuk mengetengahkan keunikan kesenian dan kebudayaan Malaysia serta negara-negara luar kepada pertubuhan pelajar antarabangsa, badan-badan NGO dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia di sana.

Program ini seharusnya diteruskan lagi pada akan datang untuk melahirkan minat pengunjung dan mempromosikan produk kraftangan tempatan kepada mereka yang menunjukkan reaksi positif sepanjang pameran ini dijalankan. Semoga dengan adanya program sebegini, imej korporat Kraftangan Malaysia dipertingkatkan bagi memartabatkan warisan kesenian kita disanjungi dan dikenali di persada Antarabangsa. Sekian.

Jumaat, 8 April 2011

Lawatan Bagi Pencalonan Adiguru Kraf Alat Muzik Tradisional (Gambus)

Batu Pahat- Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor, Encik Nor Azmi Ismail telah mengadakan lawatan ke premis Encik Mohd Diah Aripin iaitu usahawan pembuatan kraf alat muzik tradisional (gambus) bagi penamaaan calon adiguru sepertimana yang diminta oleh Bahagian Pemuliharaan, Ibu Pejabat. Lawatan ini diadakan semalam dan disertai juga pegawai Unit Pasaran dan Promosi/ Pemuliharaan Kraf, Puan Ellanie Ahmad Izani bagi mengangkat pencalonan tersebut. Semoga dengan usaha pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Johor akan memberi impak yang positif kepada usahawan kraf bagi memartabatkan dan mengiktirafkan mereka terhadap sumbangan mereka di Negeri Johor. Sekian.

Khamis, 7 April 2011

Khidmat Komuniti Sosial

Segamat- Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah mengadakan program "Khidmat Komuniti Sosial" pada 4 April 2011 di Perkampungan Orang Asli Ulu Juasseh, Segamat. Program ini bertujuan bagi persediaan tempat sempena Latihan Jangka Pendek (LJP) Anyaman Rotan yang akan diadakan di sana bermula 15 April 2011.


Pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Johor ingin mengucapkan jutaan terima kasih ke atas kerjasama yang diberikan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Segamat, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Segamat dan penduduk kampung Orang Asli Ulu Juasseh terutamanya tok batin, Encik Dagoh di sepanjang program ini dijalankan. Pihak pengurusan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor juga ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada semua anggota kerja yang terlibat bagi menjayakan program tersebut.


Semoga program ini diteruskan pada akan datang untuk mengeratkan hubungan perpaduan antara anggota kerja Kraftangan Malaysia Cawangan Johor dengan kumpulan komuniti yang disasarkan bagi membangunkan dan mempergiatkan industri kraf tempatan ke peringkat seterusnya di persada Negara. Sekian.