Rabu, 19 Oktober 2011

Bengkel Bimbingan Teknikal Fesyen Pakaian Menggunakan Kemasan Jahitan Tradisional Johor

Johor Bahru- Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (PKKMCJ) telah mengadakan Bengkel Bimbingan Teknikal Fesyen Pakaian Menggunakan Kemasan Jahitan Tradisional Johor yang bermula pada 11 Oktober sehingga 14 Oktober 2011 di premis PKKMCJ. Seramai 10 peserta yang mengikuti bengkel tersebut yang terdiri daripada kumpulan Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Jahitan Tradisional, Kota Tinggi dan kumpulan penjahit dari sekitar Johor Bahru. Puan Fatimah bt. Tugiman (Syarikat Koleksi IMM) dan Cik Rosemawati bt. Md. Noh (Syarikat Seamline Creations) merupakan orang yang dipertanggungjawabkan untuk mengajar sepanjang bengkel ini berlangsung.

Pada hari pertama, para peserta telah diberi penerangan oleh Pengarah PKKMCJ, Encik Nor Azmi b. Haji Ismail dan Puan Roshaida bt. Harun dari Bahagian Usahawan, Ibu Pejabat mengenai objektif dan sasaran program, peraturan-peraturan serta akhir sekali proses gerak yang akan dijalankan selama empat hari tersebut. Kemudiannya, pembahagian rekaan dan bahan telah diberikan kepada para peserta untuk proses gerak kerja pertama iaitu proses perletakan paten ke atas kain dan proses pemotongan kain. Pada hari kedua pula, para peserta telah menjalani proses menjahit baju. Manakala pada dua hari terakhir bengkel seterusnya, para peserta diminta untuk melakukan proses kemasan jahitan dan aksesori mengikut rekaan yang telah diberikan.

Antara jenis-jenis pakaian tradisional yang dipelajari ialah:
  1. Baju Kurung Pesak Buluh
  2. Baju Kurung Pesak Gantung
  3. Baju Kurung Telok Belanga
  4. Baju Kurung Pahang
  5. Baju Kebaya
  6. Baju Kebaya Kebarung