Isnin, 29 November 2010

Bimbingan Teknikal- Bengkel Asas Pembuatan Rumah Replika Johor

Larkin- Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah mengadakan Bimbingan Teknikal iaitu Bengkel Asas Pembuatan Rumah Replika Johor mulai 23 November 2010 hingga 26 November 2010 di sini. Bengkel tersebut di bawah program Unit Usahawan yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 5 petang melibatkan 11 orang peserta dan ia dirasmikan oleh Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor. Program ini telah dibimbing oleh Encik Baser Ali iaitu usahawan yang berpengalaman luas tentang pembuatan rumah replika di Melaka.







Program ini diadakan bertujuan untuk:
  1. Fokus kepada penggunaan teknik asas pembuatan rumah replika dengan menggunakan bahan kayu serta teknik kemasan yang betul.
  2. Memberi kemahiran tambahan dan info tentang penggunaan mesin/ jentera dalam pembuatan rumah replika dengan langkah-langkah dan teknik yang betul.
  3. Memberi pendedahan dan pengetahuan kepada usahawan pembuatan rumah replika dan pengusaha kayu khasnya untuk berkongsi pengalaman bagi meningkatkan pasaran industri ke peringkat seluruh negara.


Tugasan mereka ialah membina rumah replika Johor (Rumah Limas Johor) yang bersaiz 55" (panjang- hadapan) x 47" (panjang- belakang) x 55" (lebar) x 42" (tinggi) secara berkumpulan selama 4 hari program ini dijalankan. Pada hari kedua terakhir program tersebut, para peserta bengkel dan tenaga pengajar telah bertungkus-lumus untuk menyiapkan rumah replika itu sehingga pukul 12 pagi. Keesokkannya, acara penyerahan sijil kepada peserta-peserta bengkel telah disampaikan oleh En. Baser Ali dan diiringi oleh Ketua Unit Usahawan, Pn. Hardiana Johar pada akhir program tersebut.


Peserta-peserta bengkel berharap program ini dapat diteruskan ke fasa kedua bagi meningkatkan kemahiran individu mereka ke atas pembuatan rumah replika Johor tersebut. Semoga kemahiran teknik tukangan ini dapat diteruskan bagi mengembangkan lagi bidang kraf kayu di Johor.