Mersing- Karnival Tanjung Leman sempena GP Joran Berita Harian 2011 anjuran Berita Harian, Jabatan Pelancongan Negeri Johor dan Damansara Assets telah berlangsung pada 6 Mei hingga 8 Mei 2011 di Jeti Tanjung Leman dan Pantai Tunjuk Laut, Mersing. Karnival GP Joran ini telah dirasmikan oleh Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang bermula pada 11.30 pagi dan baginda telah diiringi oleh Menteri Besar Johor, Y.A.B Dato' Abdul Ghani Othman; Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCORP), Kamaruzzaman Abu Kassim; Pengarah Eksekutif Editorial The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Talib dan Pengarah Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.
Upacara memotong riben belon oleh Baginda Sultan merupakan gimik perasmian bagi karnival tersebut. Seterusnya, majlis pelepasan peserta acara laut dalam telah disempurnakan oleh Baginda Sultan apabila sejarah mula tercipta dengan penyertaan hampir 1,000 penyertaan bagi kategori tersebut yang menawarkan hadiah wang tunai RM 82,000 termasuk RM 20,000 sebagai hadiah utama bagi setiap kategori. Pertandingan ini telah menarik pemancing dari seluruh negara, Singapura dan Indonesia yang menaiki 120 bot menuju ke lokasi tumpuan yang terletak kira-kira 20 batu nautika di luar perairan Mersing.
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (PKKMCJ) telah menyertai program tersebut dengan penglibatan tiga syarikat dari usahawan kraf Johor bagi mengadakan aktiviti jualan di sana. Antaranya ialah:
- Arils Center
- Nouvo Craft Enterprise
- Sinar Logam Craft Enterprise
Pihak PKKMCJ juga telah mengadakan pertandingan permainan rakyat iaitu kercang kepada pengunjung di sana. Kercang adalah sejenis alat permainan tradisi Melayu lama dan ia merupakan permainan paling popular di kalangan Orang Asli dan Melayu yang tinggal di sekitar hutan Endau-Rompin pada suatu masa dahulu. Alat permainan ini biasanya diperbuat dari rotan yang disusun secara berlapis-lapis mengikut kesukarannya. Falsafah permainan ini diibaratkan seperti mencari jalan keluar dari tersesat di hutan. Tali yang boleh digerakkan antara lapisan-lapisan rotan diumpamakan seperti pengembara yang kesesatan di hutan menyusup dan melangkah halangan untuk keluar dari kesesatan itu. Lapisan-lapisan rotan itu pula disimbolkan sebagai keadaan mukabumi yang terdapat di hutan seperti lurah, permatang, gaung dan sebagainya. Pemain yang paling dulu berjaya membebaskan tali yang terperangkap di tengah-tengah lapisan kercang dianggap memenangi pertandingan dalam permainan ini.