Isnin, 30 Mei 2011

Eksplorasi Kraf Batik Canting- Persatuan MIC Negeri Johor

Larkin- Persatuan Malaysian Indian Congress (MIC) Negeri Johor telah menyertai satu program pendidikan kraf batik canting yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia Cawangan Johor dengan kerjasama Kolej Komuniti Pasir Gudang pada 28 Mei sehingga 29 Mei 2011 di Bengkel Inkubator Batik PKKMCJ. Bengkel selama 2 hari itu telah menerapkan nilai-nilai kesenian batik kepada masyarakat bukan bumiputera terutamanya bangsa India untuk mereka merasai pengalaman baru serta eksplorasi kraf batik secara lebih dekat. Penglibatan seramai 20 orang peserta itu telah menarik minat mereka untuk mempelajarinya dengan bermulanya sedikit penerangan oleh Puan Ellanie Ahmad Izani. Seterusnya kelas teori dan praktikal telah dikendalikan oleh Encik Rosdi Ibrahim bagi mendidik mereka tentang pembuatan asas batik canting.

Majlis penutup program eksplorasi kraf batik canting telah disempurnakan oleh Tuan Sabapathy A/L Ramasamy iaitu Ahli Majlis Perbandaran Pasir Gudang merangkap Ketua Bahagian MIC Bahagian Pasir Gudang dan Pengerusi Kebajikan Sosial MIC Negeri Johor. Dalam ucapan aluan oleh Pengarah PKKMCJ, Encik Azmi Haji Ismail telah mengalu-alukan kaum lain untuk menceburi bidang kraf batik atau bidang kraf lain bagi memartabatkan kraftangan tempatan ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Semasa ucapan Tuan Sabapathy A/L Ramasamy juga bersetuju dengan pandangan pengarah dan beliau akan menyokong industri kraf serta berminat untuk mengadakan program sebegini lagi bagi menarik minat kaum India menceburi bidang kraf tempatan. Penyampaian sijil para peserta dan pemenang telah disampaikan oleh Tuan Sabapathy A/L Ramasamy dan beliau diiringi oleh pengarah PKKMCJ. Majlis penutup eksplorasi kraf batik canting telah berakhir pada pukul 6.00 petang. Sekian.