Selasa, 2 November 2010

Program Merakyatkan Seni- Komuniti Sarawak & Sabah di Johor

Pasir Gudang- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor (JKKNNJ) telah mengadakan Program Merakyatkan Seni (PMS) bagi Komuniti Sarawak dan Sabah di Negeri Johor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Gagasan Dayak Iban Bersatu (G.A.I.U) Johor dan Masyarakat Bajau dan Suluk Pasir Gudang. Program ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kerjasama erat di kalangan setempat di Semenanjung dan juga masyarakat Sarawak dan Sabah yang telah bermastautin di Johor terutamanya di Pasir Gudang. Selain itu, ia memperkenalkan kepelbagaian seni dan budaya masyarakat Sarawak dan Sabah kepada masyarakat setempat.

Program Merakyatkan Seni telah melibatkan aktiviti pameran dari agensi di bawah Kementeriaan Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, aktiviti jualan kraftangan, aktiviti demonstrasi tenunan pua Sarawak dan tenunan corak dastar (Kraftangan Malaysia), gotong-royong dalam kenduri rakyat, pertandingan nyanyian lagu Saloma dan P Ramlee, pertandingan nyanyian tradisi dan persembahan kesenian pelbagai kaum. Artis seperti Haziq (AF4) dan Maulana (AF8) telah dijemput untuk memeriahkan lagi program tersebut.




Program ini juga telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato' Joseph Salang Anak Gandum iaitu Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia pada pukul 4.30 petang dan berakhir pada pukul 6 petang.