Khamis, 14 April 2011

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Cawangan PKKMCJ Bil 04/2011

Larkin- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Cawangan, PKKMCJ Bil 04/2011 pada 13 April 2011. Mesyuarat berlangsung selama dua jam di ruang perbincangan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor dan ia telah berakhir pada pukul 4.30 petang.

Antara agenda-agenda mesyuarat yang dikemukakan ialah:

Agenda 1 - Perutusan Pengerusi
Agenda 2 - Pengesahan Minit Mesyuarat Bilangan 03/2011
Agenda 3 - Perkara-Perkara Berbangkit
Agenda 4 - Laporan Prestasi Aktiviti Pengurusan dan Pembangunan
i) Unit Pentadbiran dan Kewangan
ii) Unit Pembangunan Usahawan
iii) Unit Rekaan dan Teknikal
iv) Unit Pasaran dan Promosi
v) Unit Pemuliharaan Kraf
Agenda 5 - Laporan Prestasi Perbelanjaan Pengurusan dan Pembangunan
Agenda 6 - Membincangkan Perkara-Perkara Baru
Agenda 7 - Penutup

Ceramah Agama (Tajuk: Amanah)

Larkin- Selepas program bacaan Yasin dan Tahlil diadakan, pihak pengurusan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah menjemput penceramah dari Jabatan Agama Johor, Bahagian Dakwah iaitu Ustaz Abdul Halim b. Sarmin bagi mengupas tajuk "Amanah" sebagai topik pada hari itu. Program yang berlangsung selama satu jam tiga puluh minit itu telah mengungkaikan sedikit sebanyak tentang sikap amanah Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya untuk dikaitkan dengan masyarakat kini khususnya penjawat awam. Dengan adanya program sebegini, anggota kerja dan usahawan di sini seharusnya mengambil iktibar dan muhasabah diri untuk membaiki diri sendiri agar membentuk sahsiah dan akhlak lebih cemerlang pada masa hadapan. InsyaAllah... Sekian.

Bacaan Yasin dan Tahlil

Larkin- Kelab Sukan dan Kebajikan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (KSKKMCJ) telah mengadakan program bacaan Yasin dan Tahlil pada 13 April 2011 mulai pukul 9.00 pagi di Bilik Latihan Jangka Pendek, Kraftangan Malaysia Cawangan Johor. Program ini bertujuan untuk memberi peluang kesemua anggota kerja dan usahawan di sini bagi menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada arwah keluarga dan rakan-rakan yang telah meninggal dunia, mendoakan seseorang yang sakit untuk disembuhkan serta memohon agar dimakbulkan Allah S.W.T terhadap sesuatu hajat yang dipinta.

Seterusnya, program sebegini seharusnya diteruskan sebagai acara bulanan agar ia mendatangkan perasaan insaf dan didikan bagi melahirkan insan yang cemerlang dari akhlak dan sahsiah. Pihak pengurusan ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik Zakaria b. Asari, Imam Masjid Taman Sri Bahagia, Johor Bahru kerana kesudian beliau untuk mengetuai sepanjang program bacaan Yasin dan Tahlil dijalankan. Sekian.

Perhimpunan Bulan April 2011

Larkin- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah mengadakan perhimpunan bulanan pada 13 April 2011 mulai pukul 8.30 pagi di hadapan perkarangan pejabat Kraftangan Malaysia. Perhimpunan bulan April ini telah dipengerusikan oleh Cik Norhaslizaraf bt. Ab. Rauf dan nyanyian lagu Bangsa Johor, Negaraku dan Cintai Warisan Kraf Malaysia sebagai pembuka acara program. Bacaan doa dimulakan oleh Encik Mohd Aizat b. Shaharuddin dan seterusnya diikuti dengan ucapan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor, Encik Nor Azmi b. Haji Ismail bagi menyampaikan amanat dari Ketua Pengarah kepada semua anggota kerja dan usahawan kraf di sini. Kemudian, sesi penyerahan kad lahir kepada anggota kerja yang lahir pada bulan Mac. Perhimpunan bersurai pada pukul 9.00 pagi.

Rabu, 13 April 2011

Gotong-Royong PKKMCJ

Johor Bahru- Pihak pengurusan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah mengadakan aktiviti gotong-royong semalam bagi kerja-kerja susunatur semula di ruang galeri, ruang lobi pejabat dan bilik latihan jangka pendek. Aktiviti ini dimulakan dengan penerangan oleh Timbalan Pengarah, Cik Saihazra dan pengagihan kumpulan untuk penyelarasan bagi kerja-kerja susunatur di ruang sepertimana yang telah dirancangkan. Gotong-royong ini juga bertujuan untuk persediaan bagi program bacaan Yassin dan Tahlil serta ceramah agama di bilik latihan jangka pendek pada keesokannya.


Pihak pengurusan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor ingin mengucapkan terima kasih ke atas komitmen dan kerjasama oleh setiap anggota kerja yang terlibat bagi menjayakan program ini. Semoga suasana hubungan ukhuwah diteruskan di antara satu dengan yang lain agar konsep kekeluargaan ini berkekalan di sini untuk selamanya. Sekian.

Selasa, 12 April 2011

Program KULIM Wildlife Defenders Junior (Sesi 2)

Kota Tinggi- KULIM (MALAYSIA) Berhad meneruskan kesinambungan program KULIM Wildlife Defenders Junior (Sesi 2) untuk bekerjasama dengan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor bagi mengadakan aktiviti kesedaran kepada kanak-kanak tentang kepentingan hidupan liar dan interaktif kraf dalam mewarna batik. Program ini telah diadakan pada 9 April 2011 mulai pukul 8.00 pagi hingga 1.00 petang di Sekolah Kebangsaan Nam Heng, Kota Tinggi, Johor. Program sebegini seharusnya diteruskan lagi untuk memberi pendedahan secara insitu khususnya pembuatan kraf di kalangan anak-anak muda bagi menarik minat dan mengasah kreativiti mereka di sana. Semoga dengan kehadiran mereka akan memberi impak yang positif kepada masyarakat tempatan bagi memperluaskan sektor industri kraf di Johor. Sekian.

Selamat Pengantin Baru- Encik Fairuss & Puan Ain dan Puan Wariaah & Haji Bakri

Johor Bahru- Kraftangan Malaysia Cawangan Johor ingin mengucapkan "Selamat Pengantin Baru" kepada dua pasangan raja sehari iaitu Pegawai Khidmat Pelanggan, Encik Mohd Fairuss bin Ab. Samat dan pasangannya Puan Raja Nurul Ain binti Y.M Raja Jaafar dan bekas Pekerja Am, Puan Wariaah binti Taib dan pasangannya Haji Bakri bin Asipan telah selamat terijab kabul pada 9 April 2011. Encik Fairuss dan pasangan telah diijabkabulkan di Gombak, Selangor manakala Puan Wariaah dan pasangan pula telah diijabkabulkan di Johor Bahru, Johor. Pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Johor mendoakan semoga kedua-dua pasangan mempelai ini disatukan dengan keimanan, ketaqwaan dan keyakinan kepada Allah. Jadikan mereka sentiasa saling bantu-membantu, murahkanlah rezeki mereka dan berikanlah mereka kehidupan yang dilimpahi Al-Mawaddah dan Ar Rahman di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.