Larkin- Kelab Sukan dan Kebajikan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (KSKKMCJ) telah menyediakan kad raya Aidilfitri dan sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 tahun yang bertemakan "Tradisi Melayu Klasik" pada tahun ini. Penyerahan kad raya Aidilfitri dan sambutan Hari Kemerdekaan telah diposkan kepada semua bahagian/ cawangan di Kraftangan Malaysia, para usahawan Johor dan jabatan/ agensi KPKK Negeri Johor bermula pada 12 Ogos lalu. Pihak KSKKMCJ ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua anggota kerja yang terlibat di atas kerjasama dan komitmen telah diberikan semasa sesi fotografi sehinggalah penghantaran kad tersebut. Tradisi penghantaran kad raya akan diteruskan oleh KSKKMCJ agar ia dapat mengembalikan nostalgia melalui pendedahan seperti ini di kalangan generasi baru untuk menggunakan kaedah tradisional sebagai medium perantaraan serta komunikasi pada masa hadapan. Sekian.
Selasa, 16 Ogos 2011
Jumaat, 12 Ogos 2011
Tahniah... Pengarah Dapat 'Baby' Lagi...

Larkin- Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah menerima cahayamata kedua pada 2011 setelah isteri kepada Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah selamat melahirkan cahayamata perempuan. Bayi yang seberat 3.19kg telah diberi nama Daryanna Nur Jannah Binti Nor Azmi dan dilahirkan pada 5 Ogos 2011 bersamaan 5 Ramadhan 1432 Hijrah jam pukul 8.40 pagi di Hospital KPJ, Seremban, Negeri Sembilan.
Pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (PKKMCJ) ingin mengucapkan tahniah kepada Encik Nor Azmi dan isterinya kerana mereka memiliki anak keempat yang sihat dan comel. Pihak kami juga ingin mengucapkan selamat bercuti kepada pengarah dan selamat kembali bertugas nanti. Sekian.
Isnin, 8 Ogos 2011
Ceramah Agama (Tajuk: Penghayatan Ramadhan)
Larkin- Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah mengadakan ceramah yang bertajuk "Penghayatan Ramadhan" oleh Ustaz Abdul Halim Sarmin dari Jabatan Agama Johor, Bahagian Dakwah pada 5 Ogos 2011 jam 10.30 pagi di bilik latihan PKKMCJ. Program yang berlangsung selama 1 jam bertujuan untuk menaikkan semangat untuk beramal dengan penyucian jiwa dan hati dalam melakukan kebajikan dalam bulan yang mulia ini.
Terdapat beberapa pengajaran yang diperolehi seperti:
- Keistimewaan puasa sehingga disandarkan kepada Allah S.W.T;
- Amalan kebajikan digandakan daripada sepuluh hingga tanpa had;
- Amalan kejahatan hanya dibalas satu sahaja sebagai lambang rahmat dan kasih sayang Allah kepada makhluknya;
- Puasa sebagai perisai;
- Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada kasturi;
- Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhan; dan
- Antara adab-adab puasa iaitu:
- Tidak melakukan rafas iaitu mutlak maksiat atau lagha
- Tidak melakukan sakhab iaitu bertempik dan dikehendaki dengannya meninggalkan maksiat begitu juga bercakap sia-sia kecuali membaca al-Quran dan zikir
- Berkata kepada musuhnya, " Sesungguhannya aku berpuasa. Untuk mengelak daripada tercemarnya maksud puasa dan dari mendapat natijah taqwa. "
Antara hikmah dan faedah puasa ialah:
- Boleh menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah;
- Bulan Ramadhan adalah bulan suci antara semua bulan dalam setahun;
- Allah menghendaki semua hambanya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ketaatan dan taqarrub kepada-Nya;
- Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat-sifat keras hati dan keterlaluan; dan
- membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih sayang dan prihatin.
Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran (KEPAK 2011) Peringkat Daerah Kota Tinggi
Kota Tinggi- Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran (KEPAK 2011) yang pertama kalinya diadakan pada 23 Jun hingga 26 Jun di Johor Bahru telah berjaya menarik perhatian pengunjung seramai 20,000 orang ke sana. Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) dengan kerjasama bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPEN JOHOR), Iskandar Malaysia, Jobs Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah menganjurkan sekali lagi program KEPAK 2011 di peringkat Daerah serta menjemput Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (PKKMCJ) untuk turut serta bagi mengadakan pameran dan jualan kraf di Kompleks Rakan Muda Sukan dan Air, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor mulai 28 Julai hingga 30 Julai 2011. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Y.B. Asiah Md. Ariff iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor pada 29 Julai yang lalu mulai pukul 9.30 pagi.
Antara anggota kerja PKKMCJ yang bertugas semasa program ini berlangsung ialah:
- Rahamah Abu Bakar
- Mohd Rosdi Ibrahim
- Khairul Nizar Syah Abdul Jabar
Ahad, 7 Ogos 2011
Pemasangan bendera di premis PKKMCJ sempena Hari Kemerdekaan ke 54


Larkin- Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (PKKMCJ) telah mengadakan aktiviti pemasangan bendera yang diketuai oleh pengarah, Encik Nor Azmi Haji Ismail di premis PKKMCJ bersempena dengan Hari Kemerdekaan Malaysia ke 54 tahun. Aktiviti ini dijalankan pada 29 Julai yang lalu dengan pemasangan bendera Malaysia dan Negeri Johor oleh anggota kerja yang bersemangat patriotik serta pihak pengurusan PKKMCJ ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh anggota kerja terlibat dan berharap semangat ini diteruskan bagi memupuk perasaan cintakan negara di hati mereka. Sekian.
Kursus "Effective Speaking Skills"

Kuala Lumpur- Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementeriaan Penerangan Komunikasi & Kebudayaan Malaysia (KPKK) telah mengadakan kursus "Effective Speaking Skills" yang bermula pada 26 Julai hingga 28 Julai 2011 di Kompleks Pejabat Kerajaan Bukit Perdana, Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur. Program yang berlangsung selama 3 hari itu telah dikendalikan oleh Miss Molly dari syarikat System Mulia Sdn. Bhd. (Canterbury English Masters) adalah bertujuan untuk membina serta memotivasikan para peserta untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan lancar dan baik. Kursus ini telah dihadiri oleh anggota kerja gred 27 ke atas di bawah jabatan / agensi KPKK termasuk anggota kerja Kraftangan Malaysia Cawangan Johor iaitu Cik Saihazra Izreen Hamzah.
Bengkel Bimbingan Teknikal Produk Baru Jahitan Tradisional
Larkin- Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (PKKMCJ) dan Bahagian Usahawan Ibu Pejabat telah menganjurkan Bengkel Bimbingan Teknikal Produk Baru Jahitan Tradisional pada 20 Julai hingga 22 Julai yang lalu di premis PKKMCJ. Bengkel yang disertai seramai 28 orang peserta terdiri daripada kumpulan jahitan tradisional Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Kota Tinggi dan sekitar Johor Bahru. Majlis perasmian dan penutup telah disempurnakan oleh pengarah PKKMCJ, Encik Nor Azmi Haji Ismail pada 20 Julai dan 22 Julai 2011.
Pada hari pertama, bengkel tersebut telah dimulakan dengan ceramah bertajuk "Busana Johor- Pengertian Jahitan dan Kegunaan" oleh Encik Shafie Ahmad dari Yayasan Warisan Johor. Seterusnya, aktiviti bengkel ini telah dikendalikan oleh Puan Fatimah Tugimon dari syarikat Koleksi IMM menerusi pengenalan asas jahitan dan proses gerak kerja selama tiga hari itu berlangsung. Para peserta diminta untuk menyiapkan sepasang baju kurung tradisional dengan menggunakan jenis-jenis jahitan tradisional yang dipelajari pada hari pertama bengkel ini dijalankan.
Antara jenis-jenis jahitan tradisional ke atas produk baju kurung ialah:
- Jahitan Tulang Belut
- Jahitan Peringgi
- Jahitan Ulat
- Jahitan Bunga Cengkih
- Jahitan Mata Lalat
- Jahitan Mata Keli
- Jahitan Karipap
- Jahitan Gigi Buaya
- Jahitan Kipas
- Jahitan Pucuk Rebung
- Kerawang Bermanik
- Kaki Ayam Bermanik
- Sulam Perancis
Langgan:
Catatan (Atom)