Isnin, 8 Ogos 2011

Ceramah Agama (Tajuk: Penghayatan Ramadhan)

Larkin- Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah mengadakan ceramah yang bertajuk "Penghayatan Ramadhan" oleh Ustaz Abdul Halim Sarmin dari Jabatan Agama Johor, Bahagian Dakwah pada 5 Ogos 2011 jam 10.30 pagi di bilik latihan PKKMCJ. Program yang berlangsung selama 1 jam bertujuan untuk menaikkan semangat untuk beramal dengan penyucian jiwa dan hati dalam melakukan kebajikan dalam bulan yang mulia ini.

Terdapat beberapa pengajaran yang diperolehi seperti:
  1. Keistimewaan puasa sehingga disandarkan kepada Allah S.W.T;
  2. Amalan kebajikan digandakan daripada sepuluh hingga tanpa had;
  3. Amalan kejahatan hanya dibalas satu sahaja sebagai lambang rahmat dan kasih sayang Allah kepada makhluknya;
  4. Puasa sebagai perisai;
  5. Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada kasturi;
  6. Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhan; dan
  7. Antara adab-adab puasa iaitu:
  • Tidak melakukan rafas iaitu mutlak maksiat atau lagha
  • Tidak melakukan sakhab iaitu bertempik dan dikehendaki dengannya meninggalkan maksiat begitu juga bercakap sia-sia kecuali membaca al-Quran dan zikir
  • Berkata kepada musuhnya, " Sesungguhannya aku berpuasa. Untuk mengelak daripada tercemarnya maksud puasa dan dari mendapat natijah taqwa. "


Antara hikmah dan faedah puasa ialah:
  1. Boleh menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah;
  2. Bulan Ramadhan adalah bulan suci antara semua bulan dalam setahun;
  3. Allah menghendaki semua hambanya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ketaatan dan taqarrub kepada-Nya;
  4. Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat-sifat keras hati dan keterlaluan; dan
  5. membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih sayang dan prihatin.