Sabtu, 28 Mei 2011

Ceramah "Tanda-Tanda Kiamat"

Larkin- Unit Pentadbiran dan Kewangan, Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah menjemput Ustaz Hesamuddin bin Mohd Tahir dari Jabatan Agama Johor untuk memberi ceramah bertajuk "Tanda-Tanda Kiamat" pada 26 Mei yang lalu. Ceramah yang bermula pada pukul 11.00 pagi itu telah menarik minat anggota kerja dan usahawan untuk turut serta menghadirinya bagi mendengar topik yang dibentangkan oleh Ustaz Hesamuddin. Para jemputan diberikan tayangan video selama 5 minit tentang gambaran pada hari kiamat dan ustaz juga telah menerangkan 10 perkara tanda-tanda kiamat bagi pengajaran serta keinsafan kepada manusia untuk menyedari kesilapan mereka dan kembali ke jalan diredhai. Pihak pengurusan sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelajar latihan industri kerana kelancaran program yang diatur dengan baik dan tersusun. Sekian.

Majlis Tahlil dan Bacaan Yasin (Mei)

Larkin- Kelab Sukan dan Kebajikan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (KSKKMCJ) dan pihak pengurusan akan mengadakan Majlis Tahlil dan Bacaan Yasin setiap bulan bagi menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada arwah keluarga dan rakan-rakan yang telah meninggal dunia, mendoakan seseorang yang sakit untuk disembuhkan serta memohon agar dimakbulkan Allah S.W.T terhadap sesuatu hajat yang dipinta. Majlis Tahlil dan Bacaan Yasin yang diketuai oleh Encik Zakaria telah diadakan pada 26 Mei 2011, pukul 10.00 pagi di Bilik Latihan, Kraftangan Malaysia Cawangan Johor. Pihak KSKKMCJ dan pengurusan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pelajar latihan industri kami kerana mereka berjaya melaksanakan tugasan yang telah diberikan dengan sempurna dan lancar. Tahniah diucapkan. Sekian.

Proses Pencelupan Benang bagi Penyediaan Prototaip Tenunan

Larkin- Dua orang anggota kerja Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah menjalankan proses pencelupan benang untuk menyediakan pakan bagi tenunan songket benang serat nanas sebagai produk contoh (prototaip). Proses pencelupan telah dijalankan pada 25 Mei yang lalu di sini. Produk contoh ini sedang dikendalikan oleh Cik Anjalia Raimin dan Puan Asfaziha Ab. Karim yang merupakan projek terkini bagi Unit Rekaan dan Teknikal sebagai salah satu usaha pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Johor untuk membangunkan tenunan songket benang serat nanas di peringkat negeri Johor. Sekian.

Mesyuarat Teknikal Sempena Program Pesta Durian Johor 2011

Segamat- Ketua Unit Pasaran dan Promosi/ Pemuliharaan Kraf, Puan Ellanie Ahmad Izani telah menghadiri mesyuarat teknikal sempena program Pesta Durian Johor 2011 yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor (JKKNNJ). Mesyuarat ini telah diadakan pada 25 Mei 2011 di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Segamat, Johor. Kraftangan Malaysia Cawangan Johor juga telah membawa dua orang pelajar latihan industri iaitu Encik Azizi dan Cik Intan bagi memberi peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman tentang penyelarasan sesuatu program yang berhubungkait dengan pembelajaran mereka. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Segamat (Pembangunan), Encik Miswan bin Yunus dan agenda mesyuarat telah membincangkan tentang konsep, jawatankuasa, tarikh dan tempat serta hal-hal lain yang dibentangkan oleh pengarah JKKNNJ, Encik Abdul Hamid Muhamad. Cadangan bagi mengadakan Pesta Durian Johor 2011 akan diadakan pada 16 Julai di Dataran Segamat, Johor. Mesyuarat seterusnya dijangka akan diadakan lagi pada bulan Jun atau Julai bagi membincangkan kerja persiapan terakhir dan hal-hal lain yang akan dibentangkan oleh jawatankuasa dilantik. Sekian.