Rabu, 15 Disember 2010

Majlis Perpisahan Anggota Kerja PKKMCJ

Larkin- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (PKKMCJ) telah mengadakan Majlis Perpisahan Anggota Kerja PKKMCJ pada 14 Disember 2010 di sini. Majlis ini diadakan sebagai tanda terima kasih pihak kami kepada 2 orang anggota kerja yang akan berhijrah berkuatkuasa pada 3 Januari 2011 dan penamatan kontrak pengarah PKKM Cawangan Johor sehingga 31 Disember 2010.



Majlis ini dimulakan dengan bacaan doa sebagai pembuka acara dan ucapan-ucapan oleh anggota yang diraikan sebelum pemberian hadiah dijalankan.








Antara 3 orang anggota kerja yang diraikan ialah:
  1. Ahmad Faudzi Md. Ghazali (Pengarah)- Ditamatkan perkhidmatan
  2. Ahmad Effiendie Ghazali (Pembantu Tadbir- p/o)- Berhijrah ke Bahagian Pasaran dan Promosi, Ibu Pejabat
  3. Mohd Shukri Mustafa (Pembantu Tadbir- p/o)- Berhijrah ke PKKM Cawangan Negeri Sembilan

Semoga Maju Jaya;


Bintang Barat Terbitan Petang;
Bintang Timur Terbitan Pagi;
Jika Tidak Melarat Panjang;
Ada Umur Ketemu Lagi.


Tulus Ikhlas,
Anggota Kerja PKKMCJ

Ahad, 12 Disember 2010

Selamat Pengantin Baru- Asfaziha & Faizal


Johor Bahru- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (PKKMCJ) ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada salah seorang anggota kerja PKKMCJ iaitu Puan Asfaziha dan pasangannya, Encik Ahmad Faizal yang telah melangsungkan perkahwinan mereka di Bandar Baru Uda pada 11 Disember 2010 (Sabtu). Kenduri yang bermula pada pukul 12 tengahari di rumah pengantin perempuan dan majlis persandingan diadakan sekitar pada pukul 2 petang disambut dengan paluan kompang sebagai warisan adat perkahwinan orang Melayu.


Pihak kami ingin mengucapkan "Semoga pasangan ini berkekalan dan berbahagia ke akhir hayat. Segala liku-liku kehidupan akan ditempuhi bersama dengan penuh kesabaran dan keimanan. Semoga Puan Asfaziha menjadi seorang isteri yang solehah di samping suami tercinta."


Isnin, 6 Disember 2010

Salam Maal Hijrah 1432

Kepada:
Semua Anggota Kerja Kraftangan Malaysia & Pengunjung Blog


Tulus Ikhlas:
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
Cawangan Johor

Khamis, 2 Disember 2010

Kursus Kenegaraan (BTN) Kumpulan Sasaran 2 (Gred 1-17)

Larkin- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (PKKMCJ) ingin mengucap tahniah kepada enam anggota kerja yang terpilih untuk menghadiri Kursus Kenegaraan (BTN) Kumpulan Sasaran 2 (Gred 1-17) pada 02 Disember hingga 06 Disember 2010 di KBN Bukit Sagu, Kuantan, Pahang. Antara enam anggota kerja Kraftangan Malaysia Cawangan Johor yang terpilih ialah:

- Mohd Aizat Bin Shaharuddin (Pereka B17)
- Anjalia Binti Raimin (Pengajar Kraf E17)
- Khairul Nizar Syah Bin Abdul Jabar (Pengajar Kraf E17)
- Khairul Irwan Suhaidi Bin Mansin (Juruteknik J17)
- Mohd Shukri Bin Mustafa (Pembantu Tadbir (p/o) N17)
- Shaziela Binti Mohd Shah (Pembantu Akauntan W17)

Kursus Kenegaraan adalah bertujuan untuk mencapai objektif-objektif berikut:

  1. Memberi pendedahan dan pembentukan ketahanan diri anggota perkhidmatan awam dari segi fizikal dan mental bagi meningkatkan patriotisme kepada negara dan kerajaan;
  2. Memberi penjelasan tentang pengurusan disiplin dan pembentukan sahsiah anggota perkhidmatan awam dalam menjalankan tugas;
  3. Memupuk sikap, nilai-nilai murni dan etika kerja cemerlang di kalangan semua anggota perkhidmatan;
  4. Memenuhi sebahagian daripada Tahap Kecekapan 1 di bawah Penilaian Tahap Kecekapan bagi skim perkhidmatan yang berkaitan.

Pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Johor juga ingin mengucap selamat menghadiri kursus dengan jayanya dan selamat pulang kepada semua anggota kerja PKKMCJ yang akan kembali bertugas pada 8 Disember 2010 nanti.

Rabu, 1 Disember 2010

Majlis Penyampaian Sijil Bagi Latihan Jangka Pendek Pembuatan Benang dan Tenunan Benang Serat Nanas 2010


Larkin- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah mengadakan Majlis Penutupan atau Penyampaian Sijil kepada peserta-peserta Latihan Jangka Pendek Pembuatan Benang dan Tenunan Benang Serat Nanas yang telah tamat pengajiannya pada 30 November 2010 di sini.

Program tersebut dipengerusikan oleh Cik Anjalia Raimin dan bacaan doa oleh Encik Mohd Aizat Shaharuddin sebagai pembukaan acara. Ucapan aluan disampaikan oleh Cik Saihazra Izreen Hamzah dan ucapan penutup oleh Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor iaitu Encik Ahmad Faudzi Md. Ghazali. Penyampaian sijil penghargaan kepada tenaga pengajar dan para peserta sebagai simbolik berakhirnya Latihan Jangka Pendek Pembuatan Benang dan Tenunan Benang Serat Nanas. Pengumuman dan penyampaian cenderamata kepada Cik Nurfutiha Salimen yang dinobatkan sebagai pelajar terbaik bagi latihan tersebut.


Program latihan tersebut terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

Pembuatan Benang Serat Nanas- Jun hingga Julai (10 peserta)






Tenunan Benang Serat Nanas- Ogos hingga November (7 peserta)






Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah membuat penilaian terakhir dengan mengadakan sesi pembentangan oleh para peserta kursus pada 25 November 2010 bagi melihat sejauh mana tahap kemahiran dan pengetahuan mereka terhadap pengajian yang telah diberikan. Di samping itu, pihak kami juga mengenalpasti kelebihan dan kekurangan yang terdapat pada setiap peserta bagi mempertahapkan kemahiran mereka agar lebih fokus dan terbaik.






Semoga latihan ini dapat diteruskan ke peringkat seterusnya agar peserta-peserta ini dapat digilap sepenuhnya kemahiran mereka sebagai perintis usahawan muda bagi mencapai matlamat pihak kami untuk mengekalkan identiti kraf Johor di samping menambahkan bilangan usahawan kraf di Negeri Johor. Sekian.

Selasa, 30 November 2010

Sesi Lawatan Kerja & Perbincangan Bagi Program Kerjasama Kebudayaan dan Kesenian (UTM-Kraftangan Malaysia Cawangan Johor)

Larkin- Anggota kerja dari Unit Kebudayaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan sesi lawatan ke pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (PKKMCJ) pada hari ini bagi membincangkan program kerjasama Kebudayaan dan Kesenian antara UTM dengan PKKMCJ.


Dimaklumkan pihak UTM dalam proses merangka perancangan aktiviti kebudayaan dan kesenian sepanjang tahun 2011 bagi menjana minda kreatif dan inovatif para pelajar mereka bersama usahawan kraf di sini. Beberapa usul cadangan diketengahkan dan kesefahaman juga telah dicapai antara kedua-dua pihak semasa sesi perbincangan tersebut dijalankan.

Semoga kerjasama ini dapat terjalin antara kedua-dua pihak mulai tahun 2011 agar kebudayaan dan kesenian di Negeri Johor berterusan bagi menjana kreativiti dan berkongsi pengalaman bukan sahaja di kalangan para pelajar malah usahawan kraf di sini. Program kerjasama ini dapat memupuk rasa cinta mereka terhadap buatan kraf Malaysia malah mengajar mereka untuk memeliharanya sebagai warisan di kalangan generasi masa akan datang.

Isnin, 29 November 2010

Bimbingan Teknikal- Bengkel Asas Pembuatan Rumah Replika Johor

Larkin- Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah mengadakan Bimbingan Teknikal iaitu Bengkel Asas Pembuatan Rumah Replika Johor mulai 23 November 2010 hingga 26 November 2010 di sini. Bengkel tersebut di bawah program Unit Usahawan yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 5 petang melibatkan 11 orang peserta dan ia dirasmikan oleh Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor. Program ini telah dibimbing oleh Encik Baser Ali iaitu usahawan yang berpengalaman luas tentang pembuatan rumah replika di Melaka.







Program ini diadakan bertujuan untuk:
  1. Fokus kepada penggunaan teknik asas pembuatan rumah replika dengan menggunakan bahan kayu serta teknik kemasan yang betul.
  2. Memberi kemahiran tambahan dan info tentang penggunaan mesin/ jentera dalam pembuatan rumah replika dengan langkah-langkah dan teknik yang betul.
  3. Memberi pendedahan dan pengetahuan kepada usahawan pembuatan rumah replika dan pengusaha kayu khasnya untuk berkongsi pengalaman bagi meningkatkan pasaran industri ke peringkat seluruh negara.


Tugasan mereka ialah membina rumah replika Johor (Rumah Limas Johor) yang bersaiz 55" (panjang- hadapan) x 47" (panjang- belakang) x 55" (lebar) x 42" (tinggi) secara berkumpulan selama 4 hari program ini dijalankan. Pada hari kedua terakhir program tersebut, para peserta bengkel dan tenaga pengajar telah bertungkus-lumus untuk menyiapkan rumah replika itu sehingga pukul 12 pagi. Keesokkannya, acara penyerahan sijil kepada peserta-peserta bengkel telah disampaikan oleh En. Baser Ali dan diiringi oleh Ketua Unit Usahawan, Pn. Hardiana Johar pada akhir program tersebut.


Peserta-peserta bengkel berharap program ini dapat diteruskan ke fasa kedua bagi meningkatkan kemahiran individu mereka ke atas pembuatan rumah replika Johor tersebut. Semoga kemahiran teknik tukangan ini dapat diteruskan bagi mengembangkan lagi bidang kraf kayu di Johor.