Ahad, 17 Julai 2011

Pendidikan Kraf Peringkat Negeri Johor

Larkin- Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah menganjurkan program Pendidikan Kraf peringkat Negeri Johor bersempena Hari Bertemu Pelanggan 2011 yang diadakan pada 12 Julai yang lalu. Program ini mensasarkan sejumlah peserta berskala besar dan pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah mencapai sasaran tersebut dengan penyertaan seramai 522 orang menyertainya yang terdiri daripada pelajar sekolah peringkat menengah dan rendah, guru-guru, Puspanita Cawangan Negeri Johor, Pertubuhan UMMI Mawanis dan masyarakat awam.


Program ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu:

- Mewarna Batik






- Mewarna Pasu Seramik






- Anyaman Rotan






Pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Johor ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang bagi tiga kategori tersebut serta syabas kepada semua anggota kerja dan pelajar latihan industri yang bertungkus-lumus untuk menjayakan program Pendidikan Kraf Peringkat Negeri Johor. Ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Negeri Johor dan Johor FM kerana kesudian mereka untuk mengadakan segmen siaran televisyen dan radio edisi selatan bagi mempromosikan program Hari Bertemu Pelanggan dan Pendidikan Kraf Peringkat Negeri Johor yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia.

Antara gambar-gambar pemenang bagi tiga kategori pendidikan kraf:

- Mewarna Batik






- Mewarna Pasu Seramik






- Anyaman Rotan







Antara gambar-gambar menarik dari penyertaan sekolah-sekolah:




















Sabtu, 16 Julai 2011

Hari Bertemu Pelanggan Kraftangan Malaysia 2011

Larkin- Kraftangan Malaysia telah mengadakan Hari Bertemu Pelanggan 2011 serentak pada 12 Julai 2011 di seluruh Malaysia kecuali Pulau Pinang dan Sarawak. PKKMCJ telah melaksanakan Hari Bertemu Pelanggan peringkat Kraftangan Malaysia dengan jayanya. Dianggarkan seramai 800 orang yang mengunjungi premis PKKMCJ sempena program tersebut. Antaranya ialah usahawan kraf, agensi kerajaan, pelajar sekolah peringkat menengah dan rendah, guru-guru, persatuan dari badan bukan Kerajaan (NGO) dan masyarakat awam.

PKKMCJ telah menjalankan program dengan pengisian aktiviti seperti:
  1. Taklimat Korporat
  2. Sesi Dialog bersama Usahawan Kraf
  3. Kaunter Khidmat Pelanggan (helpdesk)
  4. Kempen Penggunaan Laman Web Kraftangan Malaysia dan Blog PKKMCJ
  5. Pameran Korporat (Kraftangan Malaysia / Jabatan Penerangan Malaysia / Jabatan Arkib Negara)
  6. Pendidikan Kraf Peringkat Negeri Johor (Mewarna Batik / Mewarna Pasu Seramik / Anyaman Rotan)
  7. Demonstrasi Usahawan Kraf
  8. Lawatan Berpandu

Pihak pengurusan PKKMCJ ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua anggota kerja dan pelajar latihan industri yang bertungkus-lumus bagi memastikan program Hari Bertemu Pelanggan ini berjalan dengan lancar dan jayanya. Sekian.

Gotong-Royong & Persiapan Tempat Sempena Hari Bertemu Pelanggan Kraftangan Malaysia 2011

Larkin- Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah mengadakan aktiviti gotong-royong pada 11 Julai yang lalu sempena Hari Bertemu Pelanggan Kraftangan Malaysia 2011 yang diadakan keesokkan harinya. Aktiviti ini bermula pada pukul 9 pagi sehingga 12 tengah malam bagi persiapan tempat dan keceriaan di premis Kraftangan Malaysia Cawangan Johor. Pihak pengurusan ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua anggota kerja PKKMCJ dan pelajar latihan industri di atas kerjasama dan komitmen yang telah diberikan bagi menjayakan aktiviti gotong-royong ini. Semoga momentum sebegini diteruskan pada masa akan datang. Sekian.

Khamis, 14 Julai 2011

Takziah....

Segamat- Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah menerima satu perkhabaran sedih tentang pemergian Ibunda tercinta kepada salah seorang warga PKKMCJ iaitu Encik Khairul Nizar Syah, Pengajar Kraf di Unit Rekan dan Teknikal yang telah kembali ke rahmatullah pada hari ini. Allahyarhamah Puan Sakdiah binti Samad telah disahkan meninggal dunia pada pukul 7.30 pagi di Hospital Segamat, Johor. Jenazah telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Felda Selancar, Segamat selepas solat Zohor.

Warga PKKMCJ ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang solehah. Al- Fatihah.

Rabu, 13 Julai 2011

Kejohanan Boling Sempena Sambutan Hari Telekomunikasi dan Informasi Masyarakat Sedunia 2011



Johor Bahru- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Selatan telah menganjurkan Kejohanan Boling Sempena Sambutan Hari Telekomunikasi dan Informasi Masyarakat Sedunia 2011 pada 9 Julai 2011 di Ampang Superbowl, Leisure Mall, Johor. Kejohanan tersebut yang bermula pada 2 petang telah melibatkan ahli-ahli terdiri daripada Jawatan Kuasa Penyelarasan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (JKPKPKK) Negeri Johor.




Seramai dua orang anggota kerja Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah menyertai kejohanan itu dan mereka adalah seperti berikut:
  1. Norhaslizaraf Ab. Rauf
  2. Anjalia Raimin

Ceramah Agama (Tajuk: Mensyukuri Nikmat Allah Dalam Mencari KeredhaanNya)

Larkin- Selepas Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil diadakan, pihak pengurusan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah menjemput penceramah dari Jabatan Agama Johor, Bahagian Dakwah iaitu Ustaz Mohd Zaini bin Salleh bagi mengupas tajuk "Mensyukuri Nikmat Allah Dalam Mencari KeredhaanNya" sebagai topik pada hari itu. Program yang berlangsung selama satu jam itu telah mengungkaikan sedikit sebanyak tentang nikmat-nikmat Allah berikan di dunia hanyalah sementara dan beliau menyarankan kepada semua hadirin yang hadir agar memperbanyakkan beramal sebelum kembali menemui "Al-Khaliq iaitu Yang Pencipta". Salah satu amalan mulia yang terkandung di dalam syariat Islam ialah apabila kita menerima sesuatu nikmat berbentuk kemudahan dalam hidup, kebahagiaan, rezeki yang melimpah ruah dan terlepas dari sesuatu musibah adalah dengan memperbanyakkan syukur kepada Allah. Antaranya ialah:
  1. Mestilah mempunyai niat bagi mencari keredhaan Allah dengan berkhidmat dengan ikhlas bagi mencari rezeki yang halal;
  2. Sepanjang bekerja tersebut ia tidak menganiaya dan mengambil harta orang lain sama ada dengan cara menipu, mencuri atau rasuah;
  3. Pekerjaan yang dilakukan dengan kesungguhan dan pebuh komitmen; dan
  4. Ia tidak meninggalkan tuntutan ibadah khusus seperti mana terkandung dalam rukun Islam.

Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil (Julai)

Larkin- Kelab Sukan dan Kebajikan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (KSKKMCJ) telah mengadakan Majlis Tahlil dan Bacaan Yasin pada bulan 8 Julai 2011 yang merupakan aktiviti bulanan KSKKMCJ. Majlis Tahlil dan Bacaan Yasin diadakan bertujuan untuk menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada arwah keluarga dan rakan-rakan yang telah meninggal dunia, mendoakan seseorang yang sakit untuk disembuhkan serta memohon agar dimakbulkan Allah S.W.T terhadap sesuatu hajat yang dipinta. Majlis tersebut telah diketuai oleh Encik Amar bin Zakaria yang bermula pada pukul 10.00 pagi di Bilik Latihan, Kraftangan Malaysia Cawangan Johor.