Ahad, 8 Mei 2011

Karnival Tanjung Leman (GP Joran Berita Harian 2011)

Mersing- Karnival Tanjung Leman sempena GP Joran Berita Harian 2011 anjuran Berita Harian, Jabatan Pelancongan Negeri Johor dan Damansara Assets telah berlangsung pada 6 Mei hingga 8 Mei 2011 di Jeti Tanjung Leman dan Pantai Tunjuk Laut, Mersing. Karnival GP Joran ini telah dirasmikan oleh Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang bermula pada 11.30 pagi dan baginda telah diiringi oleh Menteri Besar Johor, Y.A.B Dato' Abdul Ghani Othman; Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCORP), Kamaruzzaman Abu Kassim; Pengarah Eksekutif Editorial The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Talib dan Pengarah Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Upacara memotong riben belon oleh Baginda Sultan merupakan gimik perasmian bagi karnival tersebut. Seterusnya, majlis pelepasan peserta acara laut dalam telah disempurnakan oleh Baginda Sultan apabila sejarah mula tercipta dengan penyertaan hampir 1,000 penyertaan bagi kategori tersebut yang menawarkan hadiah wang tunai RM 82,000 termasuk RM 20,000 sebagai hadiah utama bagi setiap kategori. Pertandingan ini telah menarik pemancing dari seluruh negara, Singapura dan Indonesia yang menaiki 120 bot menuju ke lokasi tumpuan yang terletak kira-kira 20 batu nautika di luar perairan Mersing.


Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (PKKMCJ) telah menyertai program tersebut dengan penglibatan tiga syarikat dari usahawan kraf Johor bagi mengadakan aktiviti jualan di sana. Antaranya ialah:
  1. Arils Center
  2. Nouvo Craft Enterprise
  3. Sinar Logam Craft Enterprise


Pihak PKKMCJ juga telah mengadakan pertandingan permainan rakyat iaitu kercang kepada pengunjung di sana. Kercang adalah sejenis alat permainan tradisi Melayu lama dan ia merupakan permainan paling popular di kalangan Orang Asli dan Melayu yang tinggal di sekitar hutan Endau-Rompin pada suatu masa dahulu. Alat permainan ini biasanya diperbuat dari rotan yang disusun secara berlapis-lapis mengikut kesukarannya. Falsafah permainan ini diibaratkan seperti mencari jalan keluar dari tersesat di hutan. Tali yang boleh digerakkan antara lapisan-lapisan rotan diumpamakan seperti pengembara yang kesesatan di hutan menyusup dan melangkah halangan untuk keluar dari kesesatan itu. Lapisan-lapisan rotan itu pula disimbolkan sebagai keadaan mukabumi yang terdapat di hutan seperti lurah, permatang, gaung dan sebagainya. Pemain yang paling dulu berjaya membebaskan tali yang terperangkap di tengah-tengah lapisan kercang dianggap memenangi pertandingan dalam permainan ini.

Sambutan Hari Kelahiran Anggota Kerja (Bulan Mei)

Larkin- Pihak Pengurusan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor dan Kelab Sukan dan Kebajikan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (KSKKMCJ) telah mengadakan sambutan hari kelahiran bagi anggota kerja pada bulan Mei selepas ceramah agama diadakan. Sambutan tersebut dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Ustaz Wagiran Madlan kepada anggota kerja yang diraikan dan mereka adalah sepertimana berikut:
  1. Encik Zulkifli Abd. Hamid (6 Mei)
  2. Puan Nurulniza Masuan (12 Mei)

Ceramah Agama "Kerja Sebagai Ibadah"

Larkin- Selepas perhimpunan bulan Mei telah diadakan, pihak pengurusan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah menjemput penceramah dari Jabatan Agama Johor, Bahagian Dakwah iaitu Ustaz Wagiran b. Madlan bagi mengupas tajuk "Kerja Sebagai Ibadah" sebagai topik utama pada hari itu yang bermula pada pukul 10 pagi di Bilik LJP di sini. Program yang berlangsung selama satu jam tiga puluh minit itu telah mengungkaikan sedikit sebanyak tentang pemantapan keperibadian yang unggul dan cemerlang sebagai seorang penjawat awam. Kerja yang dilaksanakan merupakan satu ibadah yang seharusnya diterapkan kepada penjawat awam kini untuk menggalas tanggungjawab mereka seharian. Semoga dengan adanya syarahan sebegini akan membina dan membentuk insan yang gemilang dan terbilang. Sekian.

Perhimpunan Bulan Mei 2011

Larkin- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah mengadakan perhimpunan bulanan pada 6 Mei 2011 mulai pukul 8.30 pagi di hadapan perkarangan pejabat Kraftangan Malaysia. Perhimpunan bulan Mei ini telah dipengerusikan oleh Encik Mohd Fairuss b. Ab. Samat dan nyanyian lagu Bangsa Johor, Negaraku dan Cintai Warisan Kraf Malaysia sebagai pembuka acara program. Bacaan doa dimulakan oleh Encik Zulkifli b. Abd. Hamid dan seterusnya diikuti dengan ucapan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor, Encik Nor Azmi b. Haji Ismail bagi menyampaikan amanat dari Ketua Pengarah kepada semua anggota kerja di sini.

Kemudian, sesi penyerahan hadiah kepada Encik Mohd Fairuss yang telah melangsungkan perkahwinan beliau pada 9 April yang lalu. Sesi penyerahan hadiah tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor (KSKMCJ), Cik Saihazra Izreen bt. Hamzah kepada beliau. Perhimpunan bersurai pada pukul 8.50 pagi.

Kursus Bina Insan Bil 3/11

Bangi- Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) telah menganjurkan Kursus Bina Insan Bilangan 3/11 untuk warga anggota kerjanya yang bermula 3 Mei hingga 5 Mei 2011 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor.



Objektif
  • Membina keperibadian yang unggul berlandaskan keimanan dan ketakwaan ke arah kejayaan diri, bangsa dan agama; dan
  • Meghayati amal ibadah dan kehidupan harian.


Kandungan
  • Mengenal jati diri;
  • Bina keyakinan diri;
  • Ketahanan mental;
  • Kerja sebagai ibadah; dan
  • Cara-cara kaunseling dalam Islam.


Metodologi
  • Ceramah
  • Perbincangan
  • Qiamullail
  • Tayangan Video


Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor telah menghantar tiga orang anggota kerjanya untuk menghadiri kursus tersebut dan mereka adalah sepertimana berikut:
  1. Khairul Nizar Syah b. Abdul Jabar
  2. Mohd Aizat b. Shaharuddin
  3. Zulkifli b. Abd Hamid